bukan sekadar bison
Would you like to react to this message? Create an account in a few clicks or log in to continue.

[b]Sekadar Renungan Bersama [/b]

Go down

[b]Sekadar Renungan Bersama [/b] Empty [b]Sekadar Renungan Bersama [/b]

Post by BudakTanjunG Thu Jun 12, 2008 11:29 am

Salam JAMADIL AKHIR all, SUNDAY 8th June 2008,


Agama bukan mengkhayalkan orang miskin

(Embedded image moved to file: pic10943.jpg)



Saya tertarik apabila membaca kisah al-Imam al-Nawawi (631-676H) yang diminta oleh Raja pada

zamannya al-Malik al-Zahir untuk memberikan fatwa bagi mengharuskan Raja mengambil harta rakyat

untuk digunakan memerangi musuh yang mengancam negara iaitu tentera Tatar. Tujuan itu pada zahirnya

baik kerana mempertahankan negara dari ancaman musuh. Harta itu pun hendak digunakan untuk

keperluan jihad.



Namun ramai ulama yang telah dibunuh ketika itu kerana enggan mengeluarkan fatwa berkenaan.

Al-Nawawi juga enggan menulis surat sokongan terhadap tindakan Raja Zahir itu sekalipun beliau tahu

pengambilan harta itu untuk kepentingan negara juga. Apabila Raja bertanya kepada beliau mengapa

beliau enggan menyokong? Beliau menjawab: Setahu saya engkau dahulunya seorang hamba, tidak

mempunyai harta. Kemudian Allah memberikan kurniaan kepadamu lalu diangkat engkau menjadi seorang

raja. Aku dengar engkau memiliki seribu hamba lelaki yang setiap mereka memiliki tali pinggang

daripada emas. Engkau juga ada memiliki dua ratus hamba perempuan, dan setiap mereka memiliki

sebekas perhiasan. Jika engkau belanjakan itu semua, sehingga hamba-hamba lelakimu hanya memakai

tali pinggang kain, dan hamba-hamha perempuanmu hanya memakai baju tanpa perhiasan, juga baitulmal

sudah tiada simpanan wang, harta dan tanah lagi, maka aku akan fatwakan untukmu keharusan mengambil

harta rakyat itu. Sesungguhnya yang menolong jihad dan selainnya ialah penyerahan diri kepada Allah

dan mengikut jalan nabi-Nya S.A.W (lihat: 'Abd al-Ghani al-Daqar, al- Imam al-Nawawi, 144-145,

Damsyik: Dar al-Qalam).



Saya suka dengan jawapan al-Imam al-Nawawi ini. Saya tahu, selepas ini banyak forum-forum perdana,

ceramah-ceramah di radio dan televesyen akan memperkatakan tentang kewajipan berjimat cermat. Maka

ustaz, ustazah dan penceramah pun atas permintaan penaja yang membayar harga ceramah akan

bersungguh-sungguh menyuruh orang-orang bawahan untuk berjimat cermat. Dalil-dalil pun akan dibaca.

Mungkin akan ada ustazah yang mencari cerita-cerita ajaib yang baru untuk dikaitkan dengan bab

jimat cermat dan jangan membazir. Mungkin akan ada penceramah yang cuba menangis seperti seorang

pelakon berjaya yang menerima anugerah, bercerita kepada makcik-makcik yang khusyuk menonton

tentang azab seorang yang membazir 'nasi lemaknya'. Datanglah orang-orang kampung mendengar forum

perdana dengan basikal atau motosikal sebagai menyahut seruan agar tidak membazir petrol. Adapun

penceramah, datuk-datuk penganjur, YB-YB hanya menggunakan kenderaan mewah yang berkapasiti atas

daripada 2000cc. Tujuannya untuk mengelakkan pembaziran wang kerajaan yang terpaksa dibayar kepada

empunya kenderaan 2000cc ke bawah, lebih tinggi daripada 2000 ke atas. Maka insaflah makcik dan

pakcik yang barangkali teringatkan tulang ikan yang pernah dibuangnya padahal masih ada sedikit

sisa isinya yang melekat. Itulah membazir namanya. Maka, atas keinsafan dan taubat itu, mungkin ada

yang akan mula mengurangkan makan nasi lemak daripada sebungkus seorang kepada sebungkus yang

dikongsi bersama. Air kopinya yang memang sudah 'ceroi' akan ditukar kepada yang warna hitamnya

antara kelihatan dan tidak. Maka selamat negara kita ini, disebabkan pakcik dan makcik, pak long

dan mak long, pak lang dan mak lang di kampung sudah mengubah gaya hidup mereka. Jika saya hadir ke

forum yang seperti itu, saya ingin bertanya soalan, tapi soalan yang belum 'dijakimkan' , "Apakah

agama ini dihantar oleh Allah untuk menghukum manusia bawahan dan menghalalkan yang lain tidur

dalam kekenyangan dan kemewahan?" Sebelum harga minyak naik, telah sekian lama mereka yang berada

di teratak usang itu menjimat makan dan pakai. Saban hari mereka mengira belanja untuk memboleh

mereka terus hidup pada kala negara dunia belum menghadapi krisis harga minyak.



Pembaziran



Saya tidak mahu membicarakan tentang kenaikan harga minyak dari sudut perjalanan ekonomi

antarabangsa. Telah banyak pakar-pakarnya bicarakan. Tapi saya ingin bincangkan tentang soal

pembaziran dan jimat-cermat. Ya, memang Islam memusuhi pembaziran. Bahkan al-Quran tidak pernah

mempersaudarakan antara mana-mana pembuat dosa dengan syaitan, melainkan mereka yang membazirkan.

Allah menyebut dalam al-Quran: (maksudnya): "Dan berikanlah kepada kaum keluargamu, dan orang

miskin serta orang musafir akan haknya masing-masing; dan janganlah engkau membazir dengan

pembaziran yang melampau. Sesungguhnya orang-orang yang membazir itu adalah saudara-saudara

syaitan, sedang syaitan itu pula sangat kufur kepada Tuhannya". (Surah al-Isra: 26-27). Demikianlah

Allah persaudarakan pembazir dengan syaitan. Kesan pembaziran sangat besar. Lihat negara kita yang

kaya dengan berbagai hasil. Sepatutnya kita akan tetap kukuh dan setiap rakyat akan menikmati

kekayaan ini dengan adilnya. Namun, disebabkan pembaziran, harta negara yang sepatutnya dapat

dimakan puluhan tahun, tetapi surut mendadak dalam masa beberapa tahun. Maka, yang patut mendapat

bantuan dan hak, tidak cukup untuk sampai kepadanya. Barang keperluan pula bertukar menjadi mahal.

Pembaziran memusnahkan kehidupan rakyat bawahan dan menghalang hak yang sepatutnya sampai kepada

mereka. Maka betapa wajar untuk para pembazir itu dipersaudarakan dengan syaitan. Apatah lagi dalam

banyak keadaan, pembaziran itu lahir dari keangkuhan dan kesombongan. Sifat-sifat itulah jua yang

menjadi asas kepada kekufuran syaitan.



Soalannya, mengapakah apabila kita membicarakan tentang pembaziran, kita hanya terbayang

orang-orang bawahan di kampung ataupun bandar. Jika kita ingin meminta supaya setiap warga negara

ini berjimat dan jangan membazir, maka bermulalah daripada atas. Bukan sekadar untuk mengenakan si

miskin yang sekian lama telah berjimat dan sudah tidak tahu apa yang hendak dijimatkan lagi .

Mengapa kita hanya terbayang rakyat yang berada dalam rumah persendirian dan berbelanja dengan wang

poketnya yang sudah lelah? Kita sepatutnya terlebih meneliti semula bagaimana perbelanjaan yang

menggunakan harta negara dan rakyat yang sedang berjalan di istana-istana, kediaman-kediaman rasmi

kerajaan di peringkat negara dan negeri? Apakah wajar di kala ini keraian untuk orang-orang besar

sama ada sultan atau menteri begitu mewah? Makanan yang dihidangkan untuk mereka, harga satu meja

kadang-kala boleh dimakan oleh ratusan rakyat bawahan. Karpet yang dipijak oleh mereka harganya

ribuan bungkusan nasi yang dimakan oleh 'orang biasa'. Apakah patut pada saat yang sebegini, ada

istana atau kediaman rasmi menteri yang hendak ditambahmewahkan? Apakah patut orang-orang besar ini

diraikan dengan hiburan atau pertunjukan dan konsert yang menelan puluhan ribu ringgit sempena

sesuatu kunjungan mereka? Wang itu, wang negara. Wang itu, wang rakyat . Apakah dalam masa yang

sebegini mereka masih mendapat peruntukan untuk bersantai, bermain golf dan 'berhiburan' dengan

menggunakan wang rakyat bawahan yang disuruh menjimatkan nasi lemak dan air kopi mereka? Pembaziran

sebegini lebih rapat menjadi saudara syaitan dibanding wang persendirian yang dibelanjakan.

Meminjam falsafah al-Imam al-Nawawi yang saya sebutkan tadi, jika orang atasan telah benar-benar

berjimat, maka wajarlah untuk dikurangkan subsidi rakyat. Al-Nawawi telah dibuang negeri kerana

enggan bersekongkol dengan perkara yang seperti ini. Namun, jika itu tidak dilakukan, ulama bukan

burung kakak tua. Saya mengambil risiko menulis hal ini. Tanggungjawab di hadapan Allah lebih besar

daripada segala- galanya. Para ulama dahulu jauh lebih mulia, tidak dibandingkan kedaifan saya ini.

Pun mereka telah menunaikan tanggungjawab al-Amr bil Ma'ruf dan al-An- Nahy 'an al-Munkar ini.

Semoga Allah menimbang tinta para ulama dengan darah para syuhada.



Telah berlaku tahun kesusahan dan kelaparan yang amat sangat di Semenanjung Arab pada zaman Amirul

Mukminin 'Umar bin al-Khattab. Dikenali dengan 'Am al- Ramadah kerana seakan bagaikan warna ramad

atau abu disebabkan kekurangan hujan, warna tanah dan warna kulit manusia yang bertukar disebabkan

kekeringan. Ini berlaku pada antara tahun 17H dan 18H selama sembilan bulan. Amirul Mukminin telah

berhempas pulas menguruskan harta negara ketika itu bagi mengatasi kesusahan rakyat. Di samping

kecemerlangan pengurusan, yang ingin disebutkan di sini kecemerlangan pendirian dan sikap. Ibn

Jarir al-Tabari meriwayatkan bahawa 'Umar bin al-Khattab tidak memakan pada tahun berkenaan lemak

haiwan, susu dan daging sehingga orang ramai dapat memakannya. Barangan makanan berkurangan di

pasar. Pada suatu hari pekerjanya dapat membeli untuknya lemak dan susu namun dengan harga yang

agak tinggi. 'Umar enggan makan bahkan berkata: "Engkau telah menyebabkan lemak dan susu menjadi

mahal, sedekahkan kedua-duanya, aku bencikan pembaziran. Bagaimana aku dapat memahami keadaan

rakyat jika tidak mengenaiku apa yang mengenai mereka?" (Al-Tabari, 2/358, Beirut: Dar al-Fikr).

Juga diriwayatkan bahawa suatu hari pada tahun berkenaan disembelih unta lalu dimasak dan

dibahagikan kepada orang ramai. Lalu dicedok masakan itu untuk dihidangkan juga buat 'Umar.

Tiba-tiba yang dicedok itu bahagian belakang unta dan hatinya. Lalu 'Umar bertanya: "Dari mana

diperoleh ini?". Daripada unta yang kita sembelih hari ini. Kata 'Umar: "Oh! Alangkah buruknya aku

ini sebagai pemimpin, jika aku memakan bahagiannya yang baik lalu aku berikan rakyat makan yang

sisa" (Ibn Sa'd, al-Tabaqat al-Kubra, 3/312, Beirut: Dar Sadir). Maka alangkah buruknya seorang

presiden, atau sultan, atau raja, atau perdana menteri, atau menteri besar, atau menteri yang makan

dengan mewah daripada peruntukan harta negara atau negeri sedangkan rakyatnya dalam kesusahan.

Ketika rakyat membilang butiran beras, helaian ringgit untuk persekolahan anak, keperitan membayar

sewa rumah, api dan air, sementara mereka yang berkuasa ini pula menghadiri jamuan negara dan

negeri itu dan ini. Bermewahan dengan pertunjukan dan hiburan dari peruntukan wang negara. Kemudian

bercuti rehat, tanpa rakyat ketahui apakah kepenatannya untuk rakyat. Kos cuti itu pula ditanggung

oleh negara tanpa sebarang pulangan keuntungan buat rakyat. Alangkah zalim! Alangkah keji sikap

yang sedemikian rupa. Saya kadang- kala begitu hairan apabila seseorang dianggap 'berjiwa rakyat' ,

hanya kerana makan nasi yang dijamu oleh rakyat, atau masuk ke kampung mendukung anak rakyat untuk

beberapa minit bagi membolehkan wartawan mengambil foto. Apakah itu dinamakan berjiwa rakyat? Jika

hendak diiktiraf sebagai berjiwa rakyat, rasailah apa yang rakyat rasai. Orang seperti 'Umar bin

al-Khattab lebih mulia daripada segala keturunan atau pangkat yang ada di kalangan manusia.

Kemuliaannya telah diiktiraf oleh Allah dan Rasul-Nya. Dia ahli syurga dengan jaminan Allah dan

Rasu-lNya sementara politiknya tidak ada saingan yang menggugatnya. Namun tetap amanah dan jujurnya

terhadap rakyatnya. Merasai penderitaan rakyat. Beliau idola kepimpinan kita sepatutnya. Walaupun

beliau tidak pernah menyuruh orang menyembah atau menjulangnya, namun beliau dipuja oleh sejarah

dan diangkat oleh Allah.



Tanggungjawab



Kenaikan harga minyak menaikkan harga barang. Orang berpendapatan rendah menjadi mangsa. Agama

berperanan untuk menyedarkan semua pihak tentang tanggungjawab terhadap rakyat. Dalam keadaan

begini, antara perkara pertama yang patut dibentang kepada rakyat adalah pengurusan kemasukan dan

pengagihan zakat. Zakat yang mungkin sampai kepada peringkat bilion ringgit di seluruh negara mesti

diagihkan secara telus dan bijaksana. Mengapa masih ada fakir miskin yang bagaikan meminta sedekah

kepada pihak yang menguruskan zakat? Mengapa program televisyen lebih menjumpai si miskin dibanding

pihak yang menguruskan zakat? Mengapa zakat masih berbaki dengan begitu banyak setiap tahun

sedangkan kemiskinan masih banyak? Mengapa pihak yang menguruskan zakat kelihatan bertambah mewah,

sementara yang patut menerima hak kelihatannya bertambah letih dengan keadaan sekarang? Pada masa

inilah peranan zakat bagi memastikan setiap yang memerlukan memperolehinya tanpa kerenah birokrasi

yang bukan-bukan. Jangan sampai untuk mendapat RM150 si miskin berulang alik berkali-kali dengan

tambang sendiri, sementara yang mendakwa amil zakat mengisi minyak kereta dengan wang zakat atas

nama amil! Ramai kata kita berjaya menguruskan zakat sebab kutipan yang tinggi. Saya katakan,

pengurusan yang berjaya itu bukan sahaja kutipan semata, tetapi juga pengagihan secara telus,

bijaksana dan bertanggungjawab.



Dalam usaha kerajaan menangani kemelut ekonomi hari ini, perkara-perkara yang disebutkan ini

mestilah dipandang serius. Kejayaan sesebuah kerajaan menghayati penderitaan rakyat akan menjadikan

mereka lebih disayangi dan disokong . Jika orang atas mengubah cara hidup, kita akan berkempen untuk

semua agar mengubah cara hidup . Jika orang agama disuruh berkempen orang bawahan agar mengubah cara

hidup, sementara melupai yang di atas, mereka sebenarnya cuba menjadikan agama sebagai candu agar

seseorang melupai masalah yang sebenar.



Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin



ialah Mufti Kerajaan Negeri Perlis.



E-mel: moasriza@yahoo. com

BudakTanjunG
Jin Kuca Kapong
Jin Kuca Kapong

Number of posts : 6
Registration date : 2008-05-12

Back to top Go down

Back to top


 
Permissions in this forum:
You cannot reply to topics in this forum